"Mama, boleh tak temankan Azim ke dapur? Laparlah."
Malam sudah larut. Jam di dinding menandakan tepat pukul 11.30 malam.
Ibu Azim mengeluh di dalam hati. Mungkin tidak menjadi keberatan untuk menemani si Azim ke dapur jika anaknya masih kecil lagi. Tetapi yang menjadikan si ibu kehairanan, anaknya ini sudah berusia 12 tahun. Wajarkah untuk meminta ditemani hanya untuk ke sebuah ruang lain di dalam rumah sendiri yang semua pintu dan tingkap sudah berkunci rapat dan dikira selamat?
Takut yang tidak dibendung boleh bertukar menjadi fobia. Umpamanya takut untuk tidur dalam gelap di mana semua lampu dipadamkan. Atau takut berucap di hadapan khalayak ramai. Atau takut dengan air di kolam renang kerana pernah hampir lemas sewaktu kecil.
Emosi takut Allah jadikan ada hikmahnya. Makhluk bernama insan perlukan perasaan takut sebagai salah satu cara untuk melindungi dirinya daripada terperangkap dalam situasi yang membahayakan. Takut yang munasabah atau rasional termasuk: takut untuk berjalan seorang diri di lorong sunyi terutama pada waktu larut malam. Atau enggan memberi butir-butir peribadi kepada seseorang yang tidak dikenali kerana takut ditipu. Atau takut untuk memanjat tangga yang amat tinggi kerana bimbang tergelincir.
TAHAP UMUR DAN EMOSI TAKUT
Sama ada emosi takut yang menyelinap ke dalam lubuk jiwa seorang kanak-kanak itu wajar ataupun tidak ada kaitannya dengan peringkat umur dan perkembangan kanak-kanak tersebut.
Adalah normal untuk kanak-kanak yang baru bertatih merasa takut untuk dipisahkan daripada ibu bapa atau pengasuhnya. Juga normal untuk kanak-kanak sekecil ini jika merasa takut untuk ke bilik air sendiri atau tidur sendirian atau takut dengan binatang atau serangga.
Kanak-kanak tadika pula mungkin takut dengan situasi baru umpamanya sekolah baru di mana segala-galanya baru untuknya.
Kanak-kanak yang sudah mula bersekolah sudah diajar takut dengan kemungkinan dirompak di tengah jalan, umpamanya. Mereka juga mula memahami konsep perhubungan manusia. Contohnya, kanak-kanak sekecil ini sudah mula terjejas emosinya dengan rasa takut apabila perhubungan ibu bapanya tidak baik. Bermakna, takut akan menyelinap di jiwanya setiap kali ibu bapanya bertelingkah. Ini kerana, kanak-kanak pada usia ini sudah mula peka dengan corak dan rentak perhubungan sesama insan.
Anak-anak remaja pula mungkin takut jika tidak ada kawan atau dipulau oleh kawan. Mereka juga merasa takut dengan pelbagai perkara yang disebut di atas tadi, termasuk perceraian ibu bapa.
Perkara yang ditakuti juga berubah sesuai dengan meningkatnya usia seseorang anak. Umpamanya, anak yang takut pada ular pada usia dua tahun mungkin tidak kisah menyentuh atau memegang ular sawa bila dibawa ke zoo pada umur belasan tahun. Jadi kalau anak kecil takut dengan sesuatu, anda tidak perlu bimbang. Kemungkinan rasa takut ini dengan sendirinya akan hilang apabila dia besar nanti.
TAKUT BOLEH JADI FOBIA
Meskipun emosi takut pada sesuatu adalah normal pada lingkungan usia tertentu, ibu bapa yang bijak akan membimbing anaknya dari kecil lagi supaya pandai menangani emosi ini. Tujuannya agar tidak menjadi satu fobia seperti Azim di atas. Fobia ialah apabila takut yang kuat berterusan di dalam jiwa seorang insan sehingga boleh menjejaskan kehidupannya sehari-hari.
Bayangkanlah:
Jika takut untuk tidur dalam gelap, bila sudah berumahtangga boleh menimbulkan perbalahan antara suami isteri kerana seorang berkeras mahu tidur dengan lampu terang benderang dan seorang lagi langsung tidak boleh tidur bila ada cahaya berhampiran.
Jika takut untuk menyampaikan idea di hadapan umum, boleh menjejaskan peluang kerjaya cemerlang kerana sebaik manapun idea, mustahil boleh disebarkan dan dimanfaatkan umat manusia andai tidak dikongsi dengan orang lain.
JIKA ANAK MENGADU TAKUT
Jika anak anda ketakutan, jangan sekali-kali dimarahi atau diperkecilkan emosi ini. Sebaliknya, ajar dia beberapa langkah yang boleh dia lakukan sendiri untuk mengurangkan rasa takut. Bantu dia untuk menenangkan perasaan:
- Ajar dia tarik nafas panjang dan lambat-lambat. Ini adalah strategi paling mudah untuk mengawal pernafasan sekaligus meredakan ketegangan. Kaedah pernafasan begini akan memulihkan tahap oksigen dalam darah. Buat bersamanya jadi dia lihat sendiri bagaimana anda melakukannya. Katakan: "Jom, kita tarik nafas lambat-lambat, ya sayang. Satu, dua, tiga ..." Lepaskan pernafasan perlahan-lahan. Ulangi beberapa kali sehingga kelihatan dia agak tenang.
- Jangan sekali-kali menggelar anak sebagai "Penakut" sama ada di hadapan orang lain atau di hadapannya sendiri. Gelaran ini, meskipun disebut sekali sekala, hanya tambah menguatkan kepercayaan anak tersebut bahawa dia sememangnya seorang penakut.
- Awasi apa yang ditonton atau dilihat oleh anak anda, terutama anak yang masih kecil, di kaca televisyen, akhbar atau media lain. Imej-imej yang terlalu mengerikan boleh meninggalkan kesan negatif yang mendalam ke atas jiwa kanak-kanak.
- Anak-anak belajar daripada ibu bapa cara bagaimana menangani emosi takut. Jika dia melihat ibu bapa dan siapa sahaja yang mendidiknya sentiasa berkeadaan tenang meskipun situasi tegang dan menggusarkan, dia juga akan belajar berlapang dada.
- Paling penting, ajar anak supaya berdoa apabila dia merasa takut atau risau untuk mententeramkan perasaan yang berkecamuk. Ada pelbagai doa yang boleh diamalkan untuk tujuan ini, iaitu mengingatkan anak anda yang Allah sentiasa di sisi dan melindunginya dalam apa jua keadaan. Salah satunya saya petik daripada laman webwww.doaharian.blogspot.com yang bermaksud:
"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku."
INGATLAH WAHAI IBU BAPA
Kasih sayang tidak memadai
Doa tidak mencukupi
Ilmu keibu-bapaan tidak datang dengan sendiri
Timbalah ia bersungguh-sungguh seikhlas hati
Agar anak menjadi insan yang hebat dan pandai berdikari
[NOTA : Artikel ini adalah sebahagian daripada siri "RAHSIA MEMBENTUK ANAK HEBAT" yang ditulis khusus untuk melengkapkan diri anda dengan asas-asas ilmu mendidik anak untuk membina keluarga bahagia dan berjaya.]
Thanks Sudi Baca. Like Kalau Suka Ok ^_^