Cuaca petang itu sungguh damai
sekali.Kedengaran suara beburung berkicauan. Sekali sekala terasa angin sepoi-sepoi bahasa
menyapa kulit wajahku. Pohon-pohon kelihatan meliuk-liuk ditiup angin
menghasilkan gemersik bunyi dedaunan bergeseran sesama sendiri seolah-olah
gembira dengan kehadiran sang angin itu. Hatiku yang berkecamuk sebentar tadi
kembali tenang. Angin petang itu laksana alunan merdu yang membelai-belai jiwaku. Kekusutan pun
segera hilang dari mindaku.
Ku
lihat dada langit. Kelihatan sinaran merah menunjukkan sang mentari mula terbenam. Tahulah aku yang
hari sudah lewat petang. Sebentar sahaja lagi azan maghrib akan berkumandang
dari surau berhampiran. Aku pun segera
melangkah pulang ke rumah. Bimbang jika terlewat sampai ibu akan marah. Kata
ibu waktu senja tidak elok berada di
luar kerana waktu itu banyak syaitan berkeliaran.
Sesampainya di rumah, azan pun berkumandang.
Aku segera ke bilik air yang terletak di luar rumah untuk membersihkan diri dan
mengambil wuduk. Selepas menunaikan solat aku membaca Al-Quran. Kelihatan ibu
telah mula sibuk di dapur membuat kuih dan nasi lemak untuk jualan hari esok.
Ku lihat adik telah lena di dalam buaian. Wajahnya yang comel dengan pipi yang
mulus itu membuatkan aku geram hendak mencubitnya.
“Eh, daripada aku duduk saja-saja ni baik aku
tolong ibu kat dapur”,bisik hati kecilku.
Setelah selesai semua kerja dan
makan, ibu menyuruh aku tidur. Esok sudah hari isnin. Jadi,aku harus bangun awal
untuk pergi ke sekolah. Malam yang sepi itu pun berlalu....
----------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Di
pagi yang permai itu ,perlahan-lahan aku mengorak langkah ke sekolah yang
terletak agak jauh dari rumahku. Langkah ku atur dengan berhati-hati di jalan bertanah merah
yang penuh dengan batu-batu kerikil tajam itu. Bimbang jika tersilap langkah
,kaki tersadung dek batu itu. “Mahu cium tanah aku nanti”,getusku di dalam hati.
Seawal pukul 6 pagi aku sudah mula mengorak langkah ke sekolah. Begitulah
rutinku setiap hari melainkan pada hari cuti. Tetapi jika ada tuisyen ,
terpaksa jugalah aku merentasi jalan itu. Bukannya aku tidak mahu membeli
basikal, tetapi oleh kerana kesempitan hidup terpaksalah aku lupakan
keinginanku itu. Berbekalkan nasi lemak buatan ibu, aku berjalan dengan penuh
semangat ke sekolah.
Hidup
kami amat daif sekali. Bersama dengan seorang ibu dan seorang adik kecil ,aku
meneruskan hidup ini. Ayah? Ayah,aku amat merindui belaian kasihmu ayah..aku
belum puas merasakan hangatnya tangan ayah membelai-belai rambutku..memujukku
tika aku kesedihan..sungguh aku terlalu rindukan ayah. Ayah sudah tiada lagi di
muka bumi ini. Ayah tinggalkan kami sekeluarga kira-kira 2 tahun yang lalu
setelah lama menderita sakit jantung.
Kini, ibulah segala-segalanya bagiku.
Dialah ibu dan dialah jua ayahku. Hidup kami bagaikan kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang. Ibu menjaja kuih di sekitar kawasan kampung setiap
pagi. Ibu juga membuat nasi lemak untuk kujual di sekolah. Dengan duit hasil
jualan itulah ibu menyara hidup kami sekeluarga. Jika jualan ibu tidak laris,
terpaksalah kami berlapar sepanjang hari itu. Ibu terlalu gigih bekerja. Tidak
pernah sekalipun kedengaran keluhan dari mulut ibu. Itulah yang membuatkan aku
begitu mengagumi ibu.
Perlahan-lahan mataku tertancap pada
pakaian sekolahku. Ia sudah menguning tetapi tidak tercalit sedikit kotoran pun
padanya. Menurut ibu, walaupun kami miskin namun kebersihan haruslah dijaga.
Jari jemariku mula menyentuh lengan bajuku. Jelas terasa kekasarannya kerana ia
hanyalah kain kasa. Hanya itu sahaja yang mampu ibu beli kerana kami bukanlah
dari keluarga yang berada. namun, aku tidak pernah berkecil hati kerana
dilahirkan dalam keluarga yang serba daif ini malah aku bersyukur dan menerima
seadanya. Kemiskinan ini jualah mengajar aku erti sebuah kegigihan. Kegigihan
seorang ibu yang tidak pernah jemu menyara hidup kami sekeluarga.
“Hei, Ita! jauh mengelamun nampak?”
Sergah Aina, sahabat baikku. “ huh,kus semangat,” kataku sambil mengurut
dada. “ Apa yang kau fikirkan sampai
nyaris nak langgar pintu panggar tadi?” Soalnya sambil mengekek ketawa. “Hehe, tak ada pape la Ain. Tak perasan pulak
aku dah sampai sekolah rupanya. Jomlah masuk ke kelas cepat. Loceng dah
berbunyi tu”, kataku dengan muka selamba. Kami pun berjalan beriringan ke
kelas.
“Hisy, sambil berjalan pun sempat
mengelamun lagi, nasib baik aku tak langgar pagar sekolah tadi. Kalau tak, malu
la jawabnye”, getusku di dalam hati.
Mulai hari ini, aku mesti bulatkan
tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Akan ku gapai sebuah kejayaan sebagai
sebuah hadiah buat ibu. “Ibu,Ita janji Ita akan belajar bersungguh-sungguh dan
ubah nasib kita nanti, Ita tidak akan hampakan harapan ibu. Ita janji!” Itu
tekadku. Aku akan buktikan kepada semua
orang bahawa anak kampung yang miskin ini juga boleh berjaya. “Ibu, doakan Ita
ya”, kataku pada angin yang berlalu dengan harapan angin tersebut akan
menyampaikannya kepada ibuku yang tercinta.
No comments:
Post a Comment