Tuesday, November 13, 2012

Nama-nama Yang Baik


Waktu Menamakan Anak

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sunat menamakan anak pada hari ketujuh selepas kelahirannya ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadis-hadis sahih. Sementara harus menamakan anak sebelum dan selepas hari ketujuh daripada hari kelahirannya.

Begitupun Imam al-Bukhari Rahimahullah berpendapat bahawa waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis shahih adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama pada hari ketujuh.

Menamakan Kandungan yang Gugur


Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah adalah sunat memberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya.

Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan, seperti Hindun " هند ", Hunaidah " ,"هنيدة Kharijah " خارجة ", Thalhah " طلحة ", ‘Umairah " عميرة ", Zur‘ah " زرعة " dan yang seumpamanya.

Begitu juga sunat hukumnya memberikan nama kepada anak damit (bayi) yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.


Menamakan Dengan Nama Yang Baik

Sunat hukumnya menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:


Maksudnya:

“Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu,maka perelokkanlah nama-nama kamu.”(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Islam menggariskan beberapa hukum mengenai pemberian nama untuk dijadikan sebagai panduan dalam memilih nama yang baik dan bertepatan dengan syara‘. Antaranya:


1) Nama Yang Disukai Allah Subhanahu Wa Ta‘ala 


Adapun sebaik-baik nama yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " ."عبد الرحمن

Ini berdasarkan hadis-hadis, di antaranya:

i. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:


“Sesungguhnya sebaik-baik nama yang disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”(Hadis riwayat Muslim)

ii. Sahabat, Jabir Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa terdapat seorang lelaki di kalangan para sahabat yang memberikan nama Abu al-Qasim untuk anak lelakinya. Para sahabat melarangnya dari menamakan sedemikian lalu dia mengkhabarkan perkara itu kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:

Maksudnya:

“Namakanlah anakmu ‘Abdurrahman.”(Hadis riwayat al-Bukhari)



Termasuk juga sebagaimana kedua-dua nama di atas iaitu ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " عبد الرحمن "nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah’ (penghambaan) kepada nama-nama khas bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, seperti ‘Abdurrahim " عبد الرحيم ", ‘Abdul Khaliq " عبد الخالق " dan ‘Abdurrazzaq " ."عبد الرزاق

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan).

2) Nama Para Nabi

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa mazhab asy- Syafi‘e dan jumhur ulama berpendapat adalah harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah menyarankan agar menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:

“Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.”(Hadis riwayat at-Tirmidzi)



Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam.

Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menamakan seorang sahabat sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalam. Begitu juga menamakan anak dengan nama Nabi Besar junjungan kita, Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah dan Jabir Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:

“Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku (Abu al-Qasim)"
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, nama Muhammad محمد" ", kemudian nama Ahmad " أحمد " adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah’ (penghambaan) kepada nama-nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " ."عبد الرحمن

Adapun menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama:

"Bahkan nama Muhammadmengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong dari nama Muhammad itu di dalam sesebuah keluarga. Imam asy-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.”


Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, maksud kata Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.

Oleh kerana nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia, maka jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.”, kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.

3) Nama Para Malaikat

Imam an-Nawawi Rahimahullah juga menyebutkan bahawa mazhab asy-Syafi‘e dan jumhur ulama berpendapat tidak makruh (harus) menamakan anak dengan nama para malaikat, seperti Redhwan " رضوان " dan lain-lain.

4) Nama Tokoh-Tokoh Islam


Boleh menamakan anak dengan apa saja nama selama mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan syara‘. Oleh yang demikian, menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam seperti Abu Bakar " ابو بكر ", ‘Umar " عمر ", Hamzah " حمزة ", Fatimah " ,"فاطمة Khadijah " خديجة " dan lain-lain lagi adalah dibolehkan.

Menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam juga diharap dapat membentuk keperibadian yang empunya nama sesuai dengan nama tokoh Islam yang diberikan kepadanya. Contohnya seorang yang diberi nama Hamzah " حمزة " diharapkan memiliki sikap berani dalam menegakkan kebenaran sebagaimana Saidina Hamzah Radhiallahu ‘anhu iaitu bapa saudara Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang berani menentang musuh-musuh Islam demi menegakkan kebenaran dan kesucian agama Islam.

5) Nama Yang Bagus Maknanya

Boleh dinamakan kanak-kanak dengan nama-nama yang bagus seperti Muhibbuddin " محب الدين " (pencinta/penyayang agama), Zainul ‘Abidin " زين العابدين " (perhiasan orang-orang yang beribadat) dan lain-lain nama yang baik.




Sumber: Halaqah.net

Thanks Sudi Baca. Like Kalau Suka Ok ^_^

3 comments:

kucing hitam said...

perkongsian yang bagus..insyaallah suatu ahri annti akan berguna untuk saya..=D

Salmi said...

Salah satu drp kewajipan ibu bapa.
Thanks atas perkongsian..

Singgah dari Segmen: Up Kan Followers Dengan Mendadak!!!

salam kenal..

wisata bakti alam said...

kunjungan gan,bagi - bagi motivasi
Hal mudah akan terasa sulit jika yg pertama dipikirkan adalah kata SULIT.Yakinlah bahwa kita memiliki kemampuan dan kekuatan.
ditunggu kunjungan baliknya yaa :)

Sila like fan page ini, info untuk anda

Tutorial By | bakul2011

 
COPYRIGHT@ All Right Reserved to Bicara Lily. Design by Lily